KOMUNIKASI
INTERPERSONAL DALAM PENGURUSAN ORGANISASI MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Zulkifli Ariffin
No. 26 Jalan AU 1C/2A, Taman Keramat Permai
Kuala Lumpur, Malaysia
Sharifah Hayati Syed Ismail
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malays, Malaysia
ABSTRAK
Kajian literatur terdahulu mendapati bahawa perbincangan
tentang komunikasi interpersonal menurut perspektif Islam sangat luas dan tidak dinafikan bahawa teori-teori Barat banyak mendasari
teori komunikasi Islam akan tetapi ilmu komunikasi Islam memberi penekanan dan
amat menitikberatkan matlamat komunikasi interpersonal sebagai penyebaran
maklumat dan ilmu bertujuan untuk membimbing umat manusia menuju ke tahap yang
lebih baik berdasarkan kebenaran.
Kata kunci:
uslub, qaula, komunikasi Ilahi, komunikasi Qurani, mau’izah, waqi’iyyah, murunah, syumuliah
PENGENALAN
Kebanyakan
teori-teori komunikasi yang dikemukakan oleh sarjana Islam melibatkan
hubungannya dengan Allah. Iaitu komunikasi interpersonal sesama makhluk
bersandar kepada hubungannya dengan Penciptanya. Komunikasi interpersonal merangkumi
gerak aktiviti yang luas dalam interaksi mereka yang menjadi sebagai suatu
ibadat apabila memenuhi matlamat dan kaedah komunikasi yang betul. Kerangka utama komunikasi interpersonal
menurut perspektif Islam turut meliputi semua urusan kehidupan seperti dalam
bidang sosial, ekonomi, politik, kekeluargaan, pendidikan, pengurusan,
perniagaan, pembangunan dan sebagainya.
SOROTAN KAJIAN
Di antara sarjana Islam yang membuat kajian tentang
komunikasi Islam ialah Mohd Yusof Hussain (2012), menekankan bahawa intelek
Muslim perlu menguasai teori komunikasi Barat supaya dapat diubahsuai mengikut
perspektif Islam. Ini merupakan hasil
daripada kajian lapangan beliau sebagai pencetus untuk melahirkan lebih banyak
pemikir-pemikir Islam untuk mengkaji komunikasi interpersonal mengikut
perspektif Islam. Kajian beliau
juga mencetuskan evolusi untuk lebih cemerlang dalam komunikasi pengurusan
organisasi menurut perspektif Islam. Justeru,
pengucap dalam komunikasi Islam perlu mengucapkan perkataan yang benar dan
ikhlas.
Kajian lapangan oleh Nik Mutasim Nik
Ab. Rahman; Nur Atiqah Abdullah; Khairul Akmaliah Adham; Norazila Mat, (2014) mengatakan
komunikasi dalam Islam adalah untuk berkongsi pemahaman tentang konsep
kompetensi pengurusan atau eksekutif daripada perspektif Islam. Model
kompetensi pengurusan yang dibangunkan oleh penulis Barat dikemukakan.
Model-model ini dibandingkan dengan model-model Islam. Perbezaan ketara antara
kedua-dua model terletak pada aspek falsafah dan pegangan masing-masing.
Model Islam berpaut kuat
kepada prinsip ketuhanan bersumberkan Quran dan Hadis yang meletakkan prinsip
ini sebagai dasar dalam mencapai matlamat keduniaan tanpa memisahkan kehidupan
di dunia ini dengan kehidupan di akhirat. Sebaliknya model konvensional
dibentuk berasaskan nilai pemikiran dan juga budaya. (Nik Mutasim
Nik Ab. Rahman; Nur Atiqah Abdullah; Khairul Akmaliah Adham; Norazila Mat,
2014).
Pencipta makhluk melarang hambanya dari bermain-main dengan perkataan,
menggunakan perkataan yang boleh membawa kepada salah faham walaupun niat
asalnya adalah untuk kebaikan. Pencipta makhluk mengingatkan bahawa orang
beriman sepatutnya meninggalkan terus penggunaan perkataan seumpamanya dan
pilihlah perkataan yang baik apabila berbicara. Ini amat jelas bahawa setiap
yang keluar dari mulut pengucap menggambarkan apa yang ada dalam hati pengucap,
baik atau buruk, bersih atau kotor, iman atau kufur, sesungguhnya akhlak
merupakan buah kepada iman (Muhammad Djarot Sensa (2005).
Menurut
Sharifah Hayaati (2010), pengurusan dalam Islam membawa maksud sama dengan
pengurusan dalam konteks semasa iaitu mengurus sesuatu yang meliputi beberapa
bentuk tindakan utama termasuk merancang, mengarah, mengatur atau
mengkoordinasi dan seterusnya membuat keputusan. Justeru, kesemua proses pengurusan tersebut
memerlukan kepada komunikasi interpersonal.
Islam amat menggalakkan komunikasi yang baik lagi
berkesan. Gambaran yang jelas boleh ditinjau melalui uslub atau gaya bahasa Al-Quran. Ia merupakan hujah bagi komunikasi
interpersonal yang baik dan tidak boleh disangkal. Hakikatnya Al-Quran terdiri dari sekumpulan
kata yang di rangkai menjadi sejumlah Kalimah dan Ayat. Salah satu keunikan uslub Al-Quran
ialah satu perkataan dapat memiliki sejumlah makna dan sejumlah perkataan hanya
satu makna. Sebagai contoh, penggunaan
perkataan qaula dan qaulan jika diterjemahkan membawa maksud yang
sama iaitu perkataan. Qaula,
dituliskan di dalam Al-Qur’an dengan kata-kata qauli, sebagai contoh jahro minal qauli atau perkataan yang
jelas (Muhammad Djarot Sensa, 2005).
Firman Allah,
إِنَّهُۥ يَعۡلَمُ ٱلۡجَهۡرَ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ وَيَعۡلَمُ مَا
تَكۡتُمُونَ ١١٠
‘Sesungguhnya Allah mengetahui akan perkataan yang kamu
sebutkan dengan terus terang, dan juga ia mengetahui apa yang kamu sembunyikan
(di dalam hati).’ Al-Anbia’:
110
Perkataan yang jelas baik, menjadikan seseorang itu kasih
mengasihi, hormat menghormati antara satu sama lain dan sekali gus perhubungan
persahabatan dirasakan seperti perhubungan dengan saudara sendiri. Asas persaudaraan ini membentuk komunikasi
interpersonal yang berkesan dan unik dalam Islam.
KOMUNIKASI
ILAHI
Teori komunikasi menurut perspektif
Islam memperlihatkan wujudnya asas kepada komunikasi interpersonal yang kukuh.
Iaitu bermulanya apabila seorang hamba berkomunikasi dengan Allah SWT melalui
solatnya dan segala amalan kebaikan yang diniatkan kerana Allah SWT. Komunikasi
Ilahi ini sekali gus menjadi piawaian kepada sesuatu ibadat.
Firman Allah SWT yang bermaksud;
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ
ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن
قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ
تَتَّقُونَ ٢١
“Wahai sekalian
manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan
orang-orang Yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang
yang) bertakwa”.
Al-Baqarah: 21
Menurut Ahmad Sonhadji Mohamad, dalam tafsirnya,
perkataan “beribadatlah” kamu kepada Tuhan kamu bermaksud menunaikan solat.
Manakala menurut tafsir Fi Zilalil Quran, beribadatlah kamu membawa maksud
Allah SWT menyeru dan memerintah seluruh manusia supaya memilih contoh golongan
yang mulia dan lurus, golongan yang bersih dan ikhlas, golongan yang beramal
dan berguna, golongan yang mendapat hidayah dan keberuntungan iaitu golongan
orang-orang yang bertakwa.[i]
Firman Allah SWT yang bermaksud;
رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا
وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةًۚ
إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ ٨
“(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai
Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk
kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi Mu;
Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberiannya”.
Ali-Imran: 8
Ayat di atas
menunjukkan keadaan dan sikap orang-orang yang mempunyai ilmu yang kukuh dan
mendalam terhadap Allah SWT. Mereka sentiasa memohon kepada Allah SWT dan itulah
keadaan dan sikap yang sesuai dengan keimanan yang tercetus daripada keyakinan
kepada firman Allah dan janji-janji Allah kepada kalimah Allah dan kepada perjanjiannya,
juga keimanan yang tercetus daripada ma’rifat terhadap rahmat dan limpah kurnia
Allah SWT.
KOMUNIKASI
QURANI
Iaitu suatu bentuk komunikasi yang
memiliki keindahan balaghah dan uslub sebagaimana petikan daripada
ayat-ayat Al-Quran. Ia boleh dinilai di antaranya seperti berikut; Al-Quran
dimudahkan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
وَلَقَدۡ يَسَّرۡنَا ٱلۡقُرۡءَانَ لِلذِّكۡرِ
فَهَلۡ مِن مُّدَّكِرٖ ١٧
“dan Demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk
menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil
peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” Al-Qamar: 17
Al-Quran juga bertindak sebagai penterjemah Kalam atau
Perkataan Allah SWT Seperti firman Allah yang bermaksud:
فَإِنَّمَا يَسَّرۡنَٰهُ بِلِسَانِكَ لِتُبَشِّرَ بِهِ
ٱلۡمُتَّقِينَ وَتُنذِرَ بِهِۦ قَوۡمٗا لُّدّٗا ٩٧
“maka Sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan
bahasa mu (Wahai Muhammad), ialah supaya Engkau memberi khabar gembira
dengannya kepada orang-orang yang bertakwa, dan supaya Engkau memberi amaran
dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya”. Maryam:
97
Khabar gembira yang disampaikan kepada para Mu’minin yang
bertaqwa dan amaran kepada para pengingkar yang degil merupakan matlamat
Al-Quran, dan Allah telah memudahkan Al-Quran kepada bangsa Arab lalu
diturunkannya dengan bahasa ibunda Rasulullah SAW supaya mereka dapat
membacanya.[ii]
Firman Allah bermaksud:
فَإِنَّمَا يَسَّرۡنَٰهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمۡ
يَتَذَكَّرُونَ ٥٨
“maka Sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran Dengan
bahasamu (Wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan
insaf (untuk beriman dan mematuhinya)”.
Ad-Dukhan: 58
Sesuai dengan fitrah kemanusiaan, pendekatan dalam amalan
komunikasi Islam adalah untuk memberi manfaat kesejahteraan kepada manusia
sejagat. Justeru, Mohd Yusof Hussin
(1993) menyatakan komunikasi Islam sebagai proses menyampai atau bertukar
perutusan dan maklumat dengan menggunakan prinsip dan kaedah komunikasi yang
terdapat dalam Al-Quran dan Hadis.
Selain beliau, Mahyuddin Abd. Halim (1985) mengatakan bahawa komunikasi
Islam ialah proses membekalkan khalayak dengan hakikat kebenaran agama Islam
yang berterusan bersandarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah secara langsung atau
tidak, melalui perantaraan media umum yang betul berasaskan hakikat kebenaran
agama yang memberi kesan kepada kehidupan seseorang dalam aspek akidah, ibadah
dan muamalah.
Sebagai sumber rujukan tertinggi kepada umat Islam,
Al-Quran dan Al-Sunnah dianggap membekalkan prinsip dan kaedah komunikasi
meliputi aspek berkomunikasi secara menegak atau vertikal iaitu dengan Allah,
dan berkomunikasi secara mendatar iaitu sesama manusia. Jelasnya terdapat dua bentuk hubungan
komunikasi dalam ajaran Islam ia itu “habl min Allah”, hubungan dengan Allah
dan “habl min al-nas”, hubungan sesama manusia.
Khususnya eksekutif dan bukan eksekutif.
Muhammad Fathi Ali Syair (1985) menggariskan empat
perkara yang menjadi asasnya iaitu menegakkan kebenaran (Li i’la’il haq),
bersikap realiti (waqi’iyyah), bersifat anjal (murunah) dan bersifat
kesempurnaan (syumuliah). Asas kepada
operasional komunikasi Islam mestilah menjunjung kebenaran, baik daripada segi
berita perkhabaran atau perkataan dan imej yang digunakan
“Kenapa kah apabila kita berfikir tentang komunikasi
Islam, fikiran kita terhad kepada mesej nasihat dan hadis-hadis agama? Kenapakah kita tidak berfikir lebih daripada
itu? Sebabnya ialah Islam dalam
kehidupan kita tidak lebih daripada hanya amalan ritual, kita tidak menghidupkan
Islam yang sebenar seperti diamalkan oleh generasi awal Islam dahulu”. (Muhammad
Qutb)
Komunikasi interpersonal dalam Islam bermatlamat untuk
berdakwah atau menyampaikan kalam Allah di atas muka bumi ini. Dengan erti kata lain, ia berpaksikan usaha
menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan atau kemungkaran (amar makruf
nahi mungkar). Orang-orang yang beriman bermaksud mereka yang mentaati
perintah dan meninggalkan segala larangan Allah secara total. Dalam Al-Quran banyak menceritakan perihal
orang-orang yang beriman. Firman Allah bermaksud:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَقُولُواْ رَٰعِنَا
وَقُولُواْ ٱنظُرۡنَا وَٱسۡمَعُواْۗ
وَلِلۡكَٰفِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٞ ١٠٤
‘Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu
mengatakan: "ra’ina", (ketika kamu berkata-kata Dengan Nabi
Muhammad), sebaliknya katakanlah: "unzurna", dan dengarlah kamu
(segala perintah Dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa)
orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa Yang tidak terperi
sakitnya.’
Al-Baqarah: 104.
KOMUNIKASI
BERHIKMAH DAN MAU’IZAH
Islam mempunyai tatacara atau garis panduan yang boleh
dijadikan landasan dalam berkomunikasi dengan berhemah dan mau`izah.
Berkomunikasi secara bijaksana, santun dan bersedia memberi nasihat, bimbingan
dan nasihat. Iaitu dengan beberapa panduan tatacara seperti:
a) Komunikasi
interpersonal yang baik - Orang
lazimnya lebih terpengaruh dengan apa yang dilihat berbanding dengan apa yang
didengar. Namun, Islam menekankan
kedua-dua bentuk komunikasi iaitu komunikasi interpersonal lisan dan
perbuatan. Firman Allah;
وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ ٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ
ٱلشَّيۡطَٰنَ
يَنزَغُ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ كَانَ لِلۡإِنسَٰنِ
عَدُوّٗا مُّبِينٗا ٥٣
“Dan katakanlah
(Wahai Muhammad) kepada hamba-hamba Ku (yang beriman), supaya mereka berkata
dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran);
sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan
yang menentang); sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh yang amat nyata bagi
manusia”. Al-Isra’: 53
Ayat di atas
menuntut umat manusia supaya berbicara dengan menggunakan kata-kata atau
perkataan yang baik pada setiap waktu dan tempat. Pengucap hendaklah memilih
ungkapan yang hendak diucapkan supaya terhindar daripada hasutan syaitan. Ini
oleh sebab ia akan merosakkan hubungan mesra sesama insan dan sentiasa menggoda
anak Adam supaya menggunakan kata-kata yang kasar dan jawapan yang kesat. Gelagat
ini boleh mengakibatkan suasana kemesraan dan harmoni tercalar atau tercemar
dengan pertengkaran. Justeru, dengan
penggunaan perkataan-perkataan yang baik itu dapat mengubati hati yang luka,
membasahkan hati yang kering dan menyatukan hati-hati di atas landasan kasih
sayang yang mulia.
Komunikasi
interpersonal yang baik dengan cara mengambil perhatian terhadap buah fikiran
dan pandangan orang lain.
Firman Allah SWT
yang bermaksud;
فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ
فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡهُمۡ
وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ
عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ ١٥٩
“Maka dengan
sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepada mu Wahai Muhammad),
engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikut
mu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada
keliling mu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan
terhadap mu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah
dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu, kemudian
apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka
bertawakal lah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang
bertawakal kepadanya”.
Ali-Imran: 159
Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW ketika beliau
merasa di dalam hatinya sedikit perasaan terkilan terhadap kaum Muslimin.
Mereka mula-mula terlalu ghairah dan bersemangat untuk keluar berperang
kemudian barisan mereka berpecah dan satu pertiga dari angkatan tentera yang
keluar untuk berperang tiba-tiba berpatah balik sebelum berlaku peperangan.
Kemudian mereka melanggar perintah Rasulullah SAW apabila
mereka lemah di hadapan dengan godaan harta rampasan perang. Ekoran itu mereka
patah semangat apabila mendengar khabar angin bahawa Rasulullah SAW mati
terbunuh dan mereka terus mengundurkan diri menderita kekalahan.
Mereka meninggalkan Nabi Muhammad SAW terpencil dalam
sekumpulan yang kecil dan membiarkan Nabi Muhammad SAW mendapat kecederaan diserang
musuh, sedangkan Rasulullah SAW berjuang dengan tabah dan menyeru mereka di
belakang yang sedang melarikan diri tanpa menoleh kepada sesiapapun.
Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW bagi tujuan
untuk menghiburkan hati Rasulullah SAW dan juga ditujukan kepada kaum Muslimin
untuk menyedarkan mereka terhadap nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada
mereka. Ayat-ayat ini mengingatkan Rasulullah SAW serta pengikutnya terhadap
rahmat Allah yang wujud pada akhlak beliau yang mulia dan penuh tanggungjawab
dan timbang rasa. Di samping itu juga dapat memadukan hati Muslim di
sekelilingnya. Fenomena ini menunjukkan Rasulullah SAW seorang yang amat
bertimbang rasa dan lemah lembut terhadap umatnya.
b)
Komunikasi Islam adalah membawa kepada
kebenaran.
Firman Allah bermaksud:
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلنَّبِيُّ إِنَّآ أَرۡسَلۡنَٰكَ شَٰهِدٗا وَمُبَشِّرٗا وَنَذِيرٗا ٤٥
وَدَاعِيًا إِلَى ٱللَّهِ بِإِذۡنِهِۦ
وَسِرَاجٗا مُّنِيرٗا ٤٦
‘Wahai Nabi, Sesungguhnya Kami mengutus mu sebagai saksi
(terhadap umat mu) dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang Yang beriman)
serta pemberi amaran (kepada orang-orang Yang ingkar), dan juga sebagai Penyeru
(umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah Dengan taufik Yang diberinya; dan
sebagai lampu yang menerangi’ Al-Ahzab:
45,46
Komunikasi Islam menyebarkan kebenaran tentang Islam dan
ajarannya kepada semua sama ada Muslim ataupun kepada bukan Muslim. Setiap individu Muslim dianggap komunikator
agama atau pendakwah (da’i) di mana diwajibkan menyampaikan mesej mengikut
kadar keupayaan masing-masing. Sama ada
seseorang itu sedar atau tidak, Islam menekankan komunikasi bertujuan untuk
menyampaikan kalam Allah di atas muka bumi ini.
Sabda Rasulullah SAW. bermaksud:
“sampaikanlah daripada aku walau sepotong ayat”, (Riwayat
Imam Bukhari). Erti kata lain komunikasi mengikut perspektif Islam berpaksikan
usaha-usaha untuk menyeru kepada kebaikan, (amar makruf) dan mencegah kejahatan
atau kemungkaran (nahi mungkar).
Tanggungjawab ini menjadikan tugas berpaksikan
usaha-usaha untuk menyeru kepada kebaikan.
Simbolik kepada “sepotong Ayat” menunjukkan betapa pentingnya kebenaran
ajaran agama disampaikan dengan berkesan berdasarkan prinsip-prinsip komunikasi
tertentu yang digariskan oleh Al-Quran Dan Al-Sunnah.
Menurut Mohd Yusof Hussain (1986), dalam satu kajian
beliau, telah menganalisis dan mengemukakan beberapa prinsip komunikasi Islam
yang dinyatakan dalam Al-Quran.
Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:
۞قَوۡلٞ
مَّعۡرُوفٞ وَمَغۡفِرَةٌ خَيۡرٞ مِّن صَدَقَةٖ يَتۡبَعُهَآ أَذٗىۗ وَٱللَّهُ
غَنِيٌّ حَلِيمٞ ٢٦٣
‘(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik
dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian)
yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. dan
(ingatlah), Allah maha kaya, lagi maha penyabar’
Al-Baqarah: 263
Ayat ini Allah menjelaskan bahawa
sedekah yang dikuti dengan sesuatu yang menyakiti hati itu tidak diperlukan,
malah lebih baik daripada sedekah dengan kata-kata yang baik dan perasaan yang
memberi kema’afan. Kata-kata yang baik itu boleh mengubati hati yang luka dan
memenuhkannya dengan rasa kerelaan dan kegembiraan serta dapat mencuci
perasaan-perasaan dendam di dalam hati dan menggantikannya dengan perasaan
persaudaraan dan setia kawan.
Firman Allah SWT bermaksud:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ
ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ
وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا
يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ
لَحۡمَ
أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ
رَّحِيمٞ ١٢
‘Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari
sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu
mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah
kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka
memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat)
maka sudah tentu kamu jijik kepada Nya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan
yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima
taubat, lagi Maha Mengasihani’.
Al-Hujurat: 12
Komunikasi interpersonal yang baik
mestilah diikuti dengan berbuat baik sesama manusia (ihsan). Firman Allah SWT yang bermaksud:
دَعۡوَىٰهُمۡ
فِيهَا سُبۡحَٰنَكَ ٱللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمۡ فِيهَا سَلَٰمٞۚ
وَءَاخِرُ
دَعۡوَىٰهُمۡ أَنِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٠
‘untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik
dikurniakan segala kebaikan serta sebagai tambahan yang mulia dan air muka
mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan.
mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya’.
Yunus: 10
Komunikasi
interpersonal yang baik mestilah tidak bercakap bohong. Firman Allah SWT:
كَمَثَلِ
ٱلشَّيۡطَٰنِ إِذۡ قَالَ لِلۡإِنسَٰنِ ٱكۡفُرۡ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي
بَرِيٓءٞ
مِّنكَ إِنِّيٓ أَخَافُ ٱللَّهَ رَبَّ
ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦
(Sikap kaum munafik Dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti
(sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia: "Berlaku kufurlah
engkau!" setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab),
berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya Aku adalah berlepas diri
daripada mu, kerana sebenarnya Aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai
seluruh alam!" Al-Hashr: 16
Komunikasi interpersonal yang baik mestilah bersikap
berpada-pada (qana’ah) iaitu penuh dengan kesabaran, tidak tamak serta mendapat
kepuasan hati dan kesenangan. Kepuasan
hati berkomunikasi terjelma apabila apa yang diperkatakan mudah difahami dan
dituruti oleh pendengar.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ
وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ٣
“kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka
pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.
Al-Asr: 3
Umar
al-Khatab r.a tanya Ubay bin Ka’ab tentang takwa. Jawab Ubay, apakah kamu tidak
pernah berjalan di tempat yang penuh dengan duri? Jawab Omar,
“saya sangat waspada dan bersungguh-sungguh
menyelamatkan diri dari duri tersebut”. Ubay berkata “itulah contoh takwa
(kewaspadaan dan ketelitian)”.
Sesungguhnya
akhlak Rasulullah ialah al-Quran. Segala perbuatan dan percakapan dari Nabi
Muhammad SAW hendaklah dijadikan panduan serta contoh bagi setiap
pekerja. Cara Rasulullah berbicara menurut riwayat Sayyidatuna Aisyah
Ummul Mukminin:
ماكان رسول الله
يسردكسر دكم هذا ولكنه كان
يتكلم بكلا م بين
فصل يحفطه من جلس اليه
"Rasulullah SAW bercakap
dengan jelas supaya dengan demikian sahabat-sahabat dapat menghafalnya dengan
mudah."
Rasulullah SAW tidak bercakap laju sebagaimana kelajuan
percakapan kebanyakan orang. Tetapi Baginda bercakap dengan kata-kata yang
jelas dan satu-persatu sehingga orang yang duduk bersamanya akan dapat
menghafal kata-katanya. Apabila bercakap, Nabi Muhammad SAW tidak akan bercakap
cepat dan akan bertutur dengan lancar sehingga orang yang mendengar akan
memahami bahagian-bahagian ayatnya.
Manakala menurut Riwayat daripada Anas Ibn Malik
bermaksud:
كان رسول الله يعيد
الكلمة ثلاثا لتعقل عنه
“Rasulullah sering mengulang-ulang kata-katanya sebanyak
tiga kali agar dapat difahami oleh orang yang mendengar.”
Riwayat ini menceritakan apabila Nabi Muhammad SAW ingin
menerangkan sesuatu hal yang penting dan rumit, baginda akan mengulanginya
sebanyak tiga kali. Pengulangan tiga kali itu merupakan batasannya. Jika tidak
baginda hanya akan menyebut sekali.
KESIMPULAN
Tidak dapat dinafikan bahawa kajian literatur terdahulu mendapati bahawa perbincangan tentang komunikasi interpersonal menurut perspektif Islam sangat luas dan diakui bahawa teori-teori Barat banyak mendasari teori komunikasi Islam. Namun harus diberi perhatian bahawa ilmu komunikasi Islam memberi penekanan dan menitikberatkan matlamat komunikasi interpersonal sebagai penyebaran maklumat dan ilmu bertujuan untuk membimbing umat manusia menuju ke tahap yang lebih baik berdasarkan kebenaran.
Tidak dapat dinafikan bahawa kajian literatur terdahulu mendapati bahawa perbincangan tentang komunikasi interpersonal menurut perspektif Islam sangat luas dan diakui bahawa teori-teori Barat banyak mendasari teori komunikasi Islam. Namun harus diberi perhatian bahawa ilmu komunikasi Islam memberi penekanan dan menitikberatkan matlamat komunikasi interpersonal sebagai penyebaran maklumat dan ilmu bertujuan untuk membimbing umat manusia menuju ke tahap yang lebih baik berdasarkan kebenaran.
Rujukan
Ahmad Sonhadji Mohamad. (1973). Tafsir
Al-Quran. Pustaka Salam, Singapura. 2680
Hussin, M. Y.
(2012). Contemporary Issues in Islamic Communication. International Islamic
University Malaysia, Kuala Lumpur. Vii
Jurnal
Pengurusan, Volume 41, 2014, Print ISSN: 0127-2713; Publisher: Universiti
Kebangsaan Malaysia, Journal Website: http://ejournal.ukm.my/pengurusan, diakses 08 ogos 2015
Muhammad Djarot Sensa. (2005). Komunikasi
Quraniah. Pustaka Islamika, Bandung.
71-72
Mohd Yusof Hussin.
(1993). Media Islam Dibayangi Sumber
Berita Barat. Sasaran, Disember, 1993. 1
Mahyuddin Abd. Halim.
(1985). dlm: Zulkiple Abd. Ghani, (2003)
Islam,
komunikasi dan Teknologi maklumat:
Utusan Publications & Distributors SB, Cheras, KL. 43
Muhammad Fathi Ali Syair.
(1985). Dalam: Zulkiple Abd. Ghani, (2003). Islam, komunikasi dan Teknologi maklumat:
Utusan Publications & Distributors SB, Cheras, KL. 4
Mohd Yusof Hussin.
(1986). Islamization of Communication
Theory. Dlm Zulkiple Abd. Ghani.
(2003). Islam, komunikasi dan Teknologi maklumat. 5
Nik Mutasim Nik Ab.
Rahman; Nur Atiqah Abdullah; Khairul Akmaliah Adham; Norazila Mat. (2014). “Kompetensi
Pengurusan: perbandingan perspektif konvensional dan Islam”.
Sharifah Hayaati Ismail
al-Qudsy. (2010). Etika Penjawat Awam
dari Perspektif Islam. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur.
Sensa M. D. (2005). Komunikasi Qur’aniah: TadabburUntuk
Pensucian Jiwa. Pustaka Islamika, Bandung, Indonesia, 23-25
Terjemahan Sahih Imam
Bukhori. (2011). Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
Watan, Kuala Lumpur
PROFIL PENULIS
Zulkifli Ariffin tamat program Doktor Falsafah di Jabatan Siyasah
Syar’iyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Bersara sebagai
eksekutif di Kumpulan Jaminan Perniagaan, Telekom Malaysia Berhad pada tahun
2010 dan kini selaku Pegerusi surau serta memiliki tauliah dari Jabatan Agama Islam
Selangor untuk memberi ceramah berkaitan dengan komunikasi menurut perspektif
Islam.
Comments
Post a Comment